KOTA KINABALU, 15 APRIL- Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan menghadiri Majlis Perjumpaan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun bersama Tuan Yang Terutama Yang (TYT) Di-Pertua Negeri Sabah bagi tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.
Program berkenaan menghimpunkan barisan kepimpinan jabatan dan agensi utama dalam usaha memperkukuh hubungan kerja serta memperkemas penyelarasan pentadbiran antara Persekutuan dan negeri.
Majlis turut diserikan dengan jamuan serta penyampaian sumbangan oleh Tuan Yang Terutama kepada Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu di Beringgis sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan memerlukan.
Penganjuran program itu dilihat sebagai platform penting dalam mempertingkatkan kerjasama strategik antara jabatan Persekutuan, kerajaan negeri serta badan berkanun, sekali gus memperkasa mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
