BELURAN, 12 APRIL– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memindahkan sementara murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya ke sekolah lain susulan kerosakan akibat pergerakan tanah dan cerun yang menjejaskan tahap keselamatan di sekolah berkenaan.
Dalam kenyataan media hari ini KPM memaklumkan keadaan di SK Balaban Jaya kini tidak lagi selamat untuk digunakan selepas sebahagian kemudahan sekolah mengalami kerosakan akibat pergerakan tanah.
Bagi memastikan sesi persekolahan tidak terganggu murid terlibat akan ditempatkan sementara di SK Pekan Beluran. KPM turut menyediakan kemudahan pengangkutan bagi membawa murid ke sekolah berkenaan supaya ibu bapa tidak menanggung beban tambahan.
Kementerian itu berkata, langkah berkenaan diputuskan selepas beberapa sesi libat urus dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bersama pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa dan penduduk setempat.
Selain penempatan sementara di SK Pekan Beluran kerja naik taraf di SK Sungai Nangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menampung keperluan penempatan murid sementara menunggu pembinaan semula SK Balaban Jaya.
KPM menegaskan bahawa kebajikan, keselamatan dan akses pendidikan murid akan terus menjadi keutamaan sepanjang tempoh pelaksanaan langkah tersebut.
Pada masa sama kementerian memberi jaminan bahawa semua murid yang terjejas akan terus menerima pendidikan sewajarnya tanpa menjejaskan proses pembelajaran mereka.
