LELAKI DITEMUI LEMAS DI SUNGAI KAMPUNG PURAK OGIS SUPUAN, KOTA BELUD

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA BELUD, 8 APRIL– Seorang lelaki berusia 33 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi-manda di sungai di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini ditemui meninggal dunia pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing @ Andin dilaporkan hilang pada jam 5.12 petang, 7 April selepas dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti mandi di sungai berkenaan.

Menurut laporan, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai sejurus menerima panggilan kecemasan. Pasukan tiba di lokasi pada jam 5.42 petang.

Komander Operasi, PBK I Farhad Abdullah memaklumkan bahawa sebaik tiba di lokasi, pihaknya mengesahkan kejadian melibatkan seorang mangsa yang dipercayai lemas.

Operasi SAR segera dijalankan di sepanjang pesisir sungai dengan bantuan penduduk kampung namun mangsa gagal ditemui pada hari pertama.

Operasi kemudian ditangguhkan pada jam 8.15 malam berikutan faktor cuaca dan disambung semula keesokan pagi.

Pada hari kedua operasi, mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam pada jam 6.30 pagi di kawasan sungai, kira-kira 2.1 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Pasukan penyelamat kemudian menggunakan pengusung (stretcher) untuk membawa keluar mayat mangsa dari lokasi penemuan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak polis sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.35 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.Turut terlibat dalam operasi ialah tiga anggota PDRM.

Share This Article