LAMPU SOLAR TERANGI LALUAN PASIR PUTIH SANDY PLAN DI BATU SAPI

sabahheadlines
1 Min Read

BATU SAPI, 6 APRIL – Usaha meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk terus diperkukuh apabila sebanyak 10 unit lampu solar dipasang di kawasan Pasir Putih Sandy Plan di sini bagi menerangi laluan utama di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata inisiatif itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyediakan kemudahan asas yang lebih baik kepada komuniti setempat.

Menurut beliau, pemasangan lampu solar tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan pencahayaan pada waktu malam malah turut memberi impak positif dari segi keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya.

“Penyediaan kemudahan seperti ini amat penting bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara di samping mengurangkan risiko kejadian tidak diingini di kawasan gelap,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan lampu solar juga selari dengan pendekatan mesra alam selain menjimatkan kos penyelenggaraan dalam jangka panjang.

Penduduk setempat menyambut baik inisiatif berkenaan dan berharap lebih banyak kemudahan serupa dapat diperluaskan ke kawasan lain.

Share This Article