OPS Tiris 4.0: KPDN, ESSCOM PERHEBAT PENGUATKUASAAN di SEMPORNA, 100 LITER PETRO DIRAMPAS

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA, 1 APRIL – Operasi bersepadu menerusi Ops Tiris 4.0 di daerah ini menyaksikan tindakan tegas diambil terhadap aktiviti penyelewengan apabila sebanyak 100 liter petrol berjaya dirampas dalam pemeriksaan yang dijalankan hari ini.

Operasi yang digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) serta beberapa agensi penguatkuasaan lain itu berlangsung dari jam 6 pagi hingga 9 malam, melibatkan pemeriksaan di pelbagai lokasi tumpuan.

Antara kawasan yang diperiksa termasuk premis penginapan, tapak pembangunan dan penempatan setinggan yang dikenal pasti berpotensi terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang.

Sepanjang operasi berkenaan, pihak KPDN merekodkan lima kes kompaun serta-merta dan satu kes biasa hasil penguatkuasaan yang dijalankan. Kesalahan yang dikesan meliputi pelanggaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

Dalam pada itu, satu kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 turut diambil tindakan membabitkan rampasan petrol yang disimpan dalam enam bekas jeriken dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM387.

Selain tindakan penguatkuasaan, sebanyak 17 notis pemeriksaan turut dikeluarkan bagi memastikan tahap pematuhan peniaga terhadap peraturan semasa sentiasa berada pada tahap memuaskan.

KPDN menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang, khususnya dalam menangani isu penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan serta kepentingan pengguna.

Pada masa sama, kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan termasuk ESSCOM dilihat sebagai elemen penting dalam memastikan keberkesanan operasi di lapangan.

Orang ramai turut diseru agar memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan segera

Share This Article