Dua Beranak Hilang di Sungai Pagalan, Operasi SAR Digempur

sabahheadlines
2 Min Read

KENINGAU, 24 Mac — Dua beranak dilaporkan hilang selepas dipercayai turun ke Sungai Pagalan berhampiran Taman Bersatu, di sini, pagi tadi, sekali gus mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan keselamatan.

Menurut maklumat awal, mangsa melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun bersama cucunya, kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh tahun.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.11 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.

Berdasarkan keterangan saksi, kedua-dua mangsa dilihat turun ke sungai sekitar jam 9.35 pagi dipercayai untuk mencuba sebuah bot. Namun, apabila saksi kembali ke lokasi kira-kira jam 11 pagi, mangsa tidak lagi kelihatan.

Pemeriksaan di kawasan berkenaan hanya menemui barangan milik mangsa yang ditinggalkan di atas batu, termasuk beg peribadi, bot, enjin bot serta gelen minyak.

Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerahkan ke lokasi sejurus menerima laporan, dengan operasi SAR kini giat dijalankan di sepanjang pesisiran sungai.

Operasi tersebut turut diselaraskan bersama Polis Diraja Malaysia yang bertindak sebagai agensi peneraju dalam usaha mengesan kedua-dua mangsa.

Pihak berkuasa memaklumkan pencarian masih diteruskan dan perkembangan semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Orang ramai turut diseru mendoakan agar operasi dipermudahkan serta kedua-dua mangsa dapat ditemui dengan segera.

TAMAT

Share This Article