KOTA KINABALU,20 Mac -Kerajaan Negeri Sabah kekal komited memperkukuh kestabilan politik sebagai asas penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kestabilan politik yang dinikmati ketika ini perlu terus dipelihara kerana ia merupakan faktor utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi serta kemakmuran negeri.
Menurut beliau, bagi memastikan hala tuju pembangunan lebih tersusun dan berimpak tinggi, kerajaan negeri telah merangka Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang bersifat lebih strategik dan menyeluruh.
“Pelan ini bukan sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi, memperkasa pembangunan modal insan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru rakyat Sabah agar menjadikan Aidilfitri sebagai titik permulaan untuk memperbaharui azam, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan usaha ke arah membangunkan negeri yang lebih maju dan harmoni.
Katanya, Aidilfitri bukan sahaja melambangkan kemenangan selepas menjalani ibadah Ramadan, malah menjadi wadah terbaik untuk memupuk nilai kesabaran, keikhlasan dan mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Keunikan Sabah terserlah apabila perayaan ini disambut dalam suasana penuh muhibah oleh masyarakat berbilang kaum dan agama. Inilah kekuatan yang perlu terus dipelihara.
“Nilai hormat-menghormati, toleransi dan semangat kebersamaan yang diamalkan sekian lama wajar diperkasakan sebagai asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.
TAMAT
