Mangsa Dibaham Buaya Ditemukan Terapung di Sungai Kinabatangan

sabahheadlines
1 Min Read

KINABATANGAN, 18 Mac – Lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai disambar buaya ketika menjala udang di Kampung Segaliud, di sini, malam tadi, ditemukan maut pagi ini.

Mayat mangsa, Mohd Rayyan Abdullah, 28, dijumpai terapung kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat, sekitar jam 9.55 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Utoh, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pagi tadi dengan penglibatan empat anggota bomba bersama penduduk kampung serta pihak polis.

“Operasi diteruskan sejurus pagi dan selepas kira-kira 30 minit pencarian, mangsa berjaya ditemui dalam keadaan terapung di sungai berkenaan.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam semalam, mangsa dilaporkan ke sungai terbabit bersama bapanya untuk menjala udang sebelum dipercayai diserang buaya.

Insiden tragis itu turut disaksikan sendiri oleh bapanya yang berada berhampiran, sebelum segera menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

TAMAT

Share This Article