KOTA KINABALU, 14 Mac – Kerjasama bagi menganjurkan program mampu mengeratkan perpaduan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama itu juga dapat menyemarakkan semangat kebajikan.
“Selain memperlihatkan semangat kerjasama ia juga memperlihatkan keprihatinan sosial yang tinggi di kalangan masyarakat,” katanya pada Majlid Iftar dan Sumbangan Ramadan (MISUR) 3.0 di sini baru-baru ini.
“Program seperti MISUR bukan sahaja memberi bantuan kepada golongan asnaf, anak-anak yatim serta ibu tunggal, malah turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat, NGO dan sektor korporat,” katanya.
Majlis itu dianjurkan Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah.
Nizam berkata, usaha murni tersebut amat signifikan khususnya di kawasan Kepayan yang mempunyai masyarakat majmuk dengan umat Islam sebagai golongan minoriti.
Beliau turut menghargai kehadiran pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat serta membantu meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai isu pembangunan dan kebajikan di negeri Sabah.
Hadir sama Ketua Bahagian PGRS Kepayan Datuk Dr Stephen Jacob Jimbangan, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah, Emmie Datuk Martin Indang serta ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat bahagian Kepayan.
Sementara itu, pengerusi penganjur, Dr. Haji Abdul Rashid Hassan berkata majlis berkenaan bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan memerlukan, malah turut menjadi platform menghargai peranan penting media dalam masyarakat.
Menurutnya, majlis itu menekankan kepentingan media sebagai penyampai maklumat yang tepat, adil dan beretika dalam era digital masa kini.
Seramau 66 orang golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal di sekitar kawasan Kepayan menerima sumbangan pada majlis itu.
TAMAT
