TUARAN, 13 Mac – Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika berada di kebun di Kampung Paka, Kiulu dekat sini sejak Selasa lalu, dan sehingga kini masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah memasuki hari ketiga.
Mangsa dikenali sebagai Jantannius Poulus, 45, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat oleh rakannya kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 10 Mac ketika mereka berehat di sebuah sulap di kebun berkenaan.
Menurut laporan rakan mangsa yang kembali ke sulap selepas itu mendapati lelaki berkenaan tiada di lokasi berkenaan sebelum usaha mencari di sekitar kawasan kebun dilakukan namun gagal menemuinya.
Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam, sebelum pasukan bomba bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 41 kilometer dari balai.
Operasi yang diketuai PBK II Masalang Sintakan melibatkan 12 anggota BBP Tuaran dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Pasukan khas turut digerakkan dalam operasi berkenaan termasuk Unit K9 JBPM Sabah bersama anjing pengesan Lexi, selain Unit STORM dan Unit dron bagi membantu pencarian di kawasan kebun yang terletak kira-kira empat kilometer dari pusat kawalan operasi.
Pada hari ketiga operasi semalam, SAR dimulakan pada jam 11.54 pagi selepas taklimat pembahagian sektor carian dilakukan kepada semua pasukan terlibat.
Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui sehingga operasi ditangguhkan pada jam 6 petang berikutan faktor cuaca dan akan disambung semula pada keesokan hari.
Operasi SAR akan diteruskan dengan pemantauan rapi di kawasan sekitar lokasi mangsa dipercayai hilang.
Sementara itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pencarian.
TAMAT
