Lelaki Warga Emas Maut Tertimbus Tanah Runtuh di Sandakan

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 11 Mac – Seorang lelaki warga emas maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di bahagian belakang sebuah hotel di pusat bandar di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.39 pagi di sebuah kawasan hotel mangsa dipercayai tertimbus tanah runtuh ketika cuba menghidupkan generator elektrik selepas bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus akibat hujan lebat.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sebuah jentera bersama 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK I Haris Mustapha berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 6.48 pagi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki tertimbus separuh badan akibat runtuhan tanah di kawasan belakang bangunan hotel.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan menggali tanah menggunakan peralatan penyodok bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus,” katanya.

Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.14 pagi sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa dikenali sebagai Agustine Frederick J. Lingam, 76 tahun.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.19 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi risiko bahaya.

TAMAT

Share This Article