Cubaan Seleweng 9,000 Liter Diesel Bersubsidi Digagalkan PPM di Lahad Datu

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 11 Mac – Tindakan seorang lelaki yang dipercayai cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan serbuan di sebuah stesen minyak di daerah ini pada malam Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi kira-kira jam 10.30 malam itu dijalankan hasil maklumat awam berhubung aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ketika pemantauan dilakukan di stesen minyak berkenaan, pihaknya mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki asal sebuah lori tangki jenis Nissan berwarna hitam putih dengan jalur kuning.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal lori tersebut telah diubah suai dengan pemasangan pam serta menggunakan satu gulung hos yang dipercayai bagi memindahkan minyak diesel dari tangki asal ke dalam muatan tangki minyak (tanker).

“Peralatan yang digunakan menunjukkan aktiviti tersebut disyaki bertujuan untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati lori tersebut telah diisi kira-kira 9,000 liter minyak diesel yang melebihi had dibenarkan oleh pihak berkuasa.
Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan manakala lori, minyak diesel serta peralatan yang digunakan turut dirampas untuk tindakan lanjut.

Katanya, semua rampasan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM519,500,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ahmad Amri berkata, pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan.

Pada masa sama orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan tersebut.

TAMAT

Share This Article