Vesel Pukat Jerut Bilis Berlesen Tamat Tempoh Ditahan di Perairan Kunak

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 3 Mac — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritimv Lahad Datu menahan sebuah vesel pukat jerut bilis yang didapati beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh di perairan Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 4.45 petang pada kedudukan 2.6 batu nautika timur laut Pangkalan Kunak oleh bot ronda yang sedang melaksanakan Op PLUTO TIMUR 2/2023 dan Op TIRIS 3.0.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong warga Filipina berusia 37 tahun bersama dua kru lelaki masing-masing berusia 27 dan 34 tahun.

Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut mendapati lesen vesel tersebut telah tamat tempoh dan gagal diperbaharui,” katanya.

Beliau menegaskan kegagalan memperbaharui lesen bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh menjejaskan kawalan serta pengurusan sumber perikanan negara.

Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar mematuhi peraturan dan akan terus mempergiat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara.

Vesel, kru dan hasil tangkapan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Orang ramai khususnya komuniti maritim digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

TAMAT

Share This Article