Gerhana Bulan Penuh Malam Ini, JAKIM Anjur Solat Sunat di Tiga Masjid Utama

sabahheadlines
2 Min Read

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Fenomena gerhana bulan penuh dijangka dapat disaksikan di seluruh negara malam ini, bersamaan 13 Ramadan 1447 Hijrah, dengan umat Islam diseru mengambil peluang menunaikan solat sunat gerhana sebagai tanda menginsafi kebesaran Ilahi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, gerhana dijangka mula kelihatan seawal jam 7.23 malam ketika bulan terbit, sebelum mencapai kemuncak pada jam 7.33 malam. Fenomena itu dijangka berakhir sepenuhnya pada jam 10.23 malam apabila fasa penumbra tamat.

Ketika kemuncak gerhana, bulan diramalkan kelihatan kemerahan berikutan pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi, satu fenomena semula jadi yang sering dirujuk sebagai “blood moon”.

Sehubungan itu, umat Islam disunatkan menunaikan Solat Sunat Gerhana Bulan bermula selepas waktu maghrib sehingga jam 9.17 malam, iaitu ketika fasa gerhana separa berakhir, selaras dengan tuntutan syarak.
Bagi mengimarahkan syiar Islam dan memberi ruang kepada masyarakat menghayati hikmah di sebalik kejadian tersebut, JAKIM akan menganjurkan solat berkenaan di tiga masjid utama di bawah pentadbirannya iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pelaksanaan solat akan dimulakan sejurus masuk waktu yang ditetapkan dan akan disusuli dengan khutbah ringkas yang menyentuh pengajaran serta hikmah kejadian gerhana menurut perspektif Islam.

Dalam pada itu, JAKIM turut menggesa umat Islam agar memanfaatkan tempoh berlakunya gerhana dengan memperbanyakkan doa, istighfar dan munajat, khususnya dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Fenomena ini diharap dapat menjadi peringatan kepada masyarakat mengenai kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, di samping memperkukuh keimanan serta ketakwaan dalam menjalani ibadah sepanjang bulan suci ini.

TAMAT

Share This Article