APM Bantu Pindahkan Jururawat, Guru dan Kertas Peperiksaan STPM Akibat Banjir di Beaufort

sabahheadlines
1 Min Read

BEAUFORT, 26 Feb (Rabu) – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini melaksanakan dua operasi bantuan berasingan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kesihatan dan peperiksaan awam susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini.

Dalam kejadian pertama, APM membantu menyelamatkan seorang jururawat yang terkandas akibat laluan dinaiki air di Jalan Bypass Beaufort–Menumbok.

Mangsa yang dalam perjalanan untuk bertugas berjaya dipindahkan dan dihantar dengan selamat ke Hospital Beaufort bagi meneruskan tugasnya.

Sementara itu dalam operasi berasingan di Sekolah Menengah Gadong, Beaufort, APM turut membantu mengambil serta menghantar guru-guru dan kertas peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Guru dan kertas peperiksaan berkenaan dipindahkan dari Sekolah Kebangsaan Menengah Satu, Beaufort ke Sekolah Menengah Gadong, Beaufort berikutan keadaan laluan yang terjejas akibat banjir.

Operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Tindakan pantas APM membantu memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu dan peperiksaan STPM dapat diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.

APM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa ketika melalui kawasan yang terjejas banjir.

TAMAT

Share This Article