Empat Individu Ditahan Positif Dadah Dalam Ops Tapis di Kampung Pangeran

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 24 Feb – Empat individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, di Kampung Pangeran, Batu 7, di sini semalam.

Operasi yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang itu menyasarkan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan. Sepanjang operasi, pasukan BSJND melaksanakan dua serbuan berasingan di rumah berbeza.

Hasil pemeriksaan, seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah, manakala dua lelaki diberkas kerana memiliki bahan disyaki syabu. Operasi kemudian diperluaskan di sekitar kampung sama sebelum seorang lagi lelaki ditahan di tepi jalan atas kesalahan disyaki mengambil dadah terlarang.

Semua suspek dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif amphetamine serta methamphetamine. Dua lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi individu disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki yang ditahan atas kes jenayah berasingan turut menjalani ujian saringan di pejabat BSJND dan didapati positif bahan terlarang yang sama. Suspek berkenaan juga ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua tangkapan kini direman di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut. Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Geoge B. Abd Rakman, menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam membanteras jenayah dadah di daerah ini melalui operasi bersepadu dan tindakan penguatkuasaan yang konsisten.

TAMAT

Share This Article