SANDAKAN, 21 Feb – Prihatin terhadap nasib penduduk terjejas banjir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N51 Sungai Manila, YB Tuan Haji Hazem Mubarak Musa menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sekitar kawasan Sungai Manila, hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Rahmat Iskandar bersama Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO), Mohd Ridhwan Thani serta Pegawai ADUN, Syahrul Masaude yang hadir mewakili beliau. Turut serta Setiausaha Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sungai Manila, Awang Sapari Awang Sapar dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sungai Manila bagi memastikan bantuan dapat diagihkan dengan lancar kepada keluarga yang terkesan.
Bantuan tersebut bertujuan meringankan beban mangsa yang terpaksa berdepan kerosakan harta benda serta gangguan aktiviti harian akibat limpahan air susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu. Penduduk yang menerima sumbangan melahirkan penghargaan atas keprihatinan dan tindakan segera pihak ADUN dalam membantu mereka menghadapi situasi sukar itu.
Dalam perkembangan sama, isu berkaitan sistem perparitan dan saliran yang dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kejadian banjir akan dibawa ke Mesyuarat Tindakan Daerah untuk perhatian serta tindakan lanjut oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Langkah itu diharap dapat membantu mengurangkan risiko banjir berulang pada masa hadapan.
Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan wakil rakyat dalam memastikan kebajikan penduduk sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika berdepan bencana.
TAMAT
