20 Penduduk Dipindahkan Dalam Banjir Kilat Di Paitan

sabahheadlines
2 Min Read

PAITAN, 21 Februari — Seramai 20 penduduk dari Kampung Cocos dan Kampung Tulungan di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kejadian banjir kilat melanda kawasan berkenaan pagi tadi.

Menurut laporan operasi, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.16 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 118 kilometer dari balai.

Jentera tiba di lokasi pada jam 11.52 pagi.

Komander Operasi, PBK I Arshad bin Kadir memaklumkan kejadian melibatkan limpahan air yang menjejaskan beberapa kediaman di kedua-dua kampung berkenaan menyebabkan penduduk terperangkap dan memerlukan bantuan pemindahan segera.

Pasukan bomba dengan kekuatan lima anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dan bot NADMA menjalankan operasi memindahkan mangsa ke PPS Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cocos serta PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol.

Di PPS SMK Pamol, seramai 10 mangsa ditempatkan melibatkan dua lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, dua kanak-kanak perempuan, seorang lelaki warga emas dan dua perempuan warga emas.

Sementara itu, seramai 10 lagi mangsa ditempatkan di PPS JPKK Kampung Cocos yang terdiri daripada tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan dua kanak-kanak lelaki.

Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar.
Setelah pemeriksaan lanjut mendapati keadaan kembali selamat dan tiada mangsa lain terjejas, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang.

Pegawai yang boleh dihubungi ialah Ketua Balai BBP Beluran, PPgB Edoen Macheal.

TAMAT

Share This Article