Banjir Besar Paitan: Bantuan Makanan Disegerakan, Sembilan PPS Dibuka

sabahheadlines
1 Min Read

PAITAN, 21 Feb – Kerja-kerja pemunggahan dan penghantaran bantuan makanan kepada mangsa banjir di daerah ini digerakkan segera susulan kejadian banjir besar yang melanda kawasan berkenaan hari ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, semua agensi terlibat telah diarahkan supaya menyelaras bantuan secara pantas dan tersusun bagi memastikan keperluan asas mangsa dapat disalurkan tanpa kelewatan.

Menurutnya, aspek keselamatan serta kebajikan keluarga terjejas menjadi keutamaan dalam operasi bantuan yang sedang dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Paitan telah dibuka dan mula beroperasi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

Antara PPS yang dibuka ialah SMK Simpangan, Dewan Binsulung, Masjid Kaindangan, Batangon Darat, Dewan Tangkarason (Kg Baru), SK Lubang Buaya, Gereja Puru Batu, Masjid Simpangan dan Masjid Batangon Laut.

Penduduk yang terjejas dinasihatkan agar segera berpindah ke PPS terdekat serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

Orang ramai turut diminta mendoakan agar urusan bantuan dipermudahkan dan mangsa banjir di Paitan serta kawasan sekitar termasuk Sugut diberi ketabahan menghadapi situasi ini.

TAMAT

Share This Article