KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa situasi banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah berada dalam pemantauan rapi dengan semua agensi berkaitan digerakkan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersama jawatankuasa di peringkat daerah telah diarah mengaktifkan operasi sepenuhnya termasuk penyaluran bantuan segera kepada penduduk terjejas.
Menurut JPBN, setakat ini 336 mangsa daripada 111 keluarga ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan daerah Kota Marudu dan Pitas. Keadaan di Sandakan dan Paitan turut dipantau dari semasa ke semasa.
Beliau turut mengingatkan penduduk khususnya di kawasan rendah dan berisiko supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri hari ini menyampaikan bantuan kepada 16 mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru yang berlaku pada 18 Februari lalu. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Parlimen Putatan, Datik Shahelmey Yahya bersama Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Diyanah Abdullah di PPS Kampung Sembulan.
TAMAT
