KOTA BELUD, 17 Feb — Lima individu termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max terbabas sendiri lalu terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter dalam kejadian di Kampung Pituru Laut, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 8.01 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai. Jentera tiba di lokasi pada jam 8.33 malam.
Menurut laporan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam gaung.
Orang awam yang berada di lokasi berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dan membawa mereka naik ke bahu jalan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba kemudian memberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum semua mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Mangsa yang terlibat terdiri daripada seorang wanita berusia 40 tahun, seorang lelaki berusia 44 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berumur empat, tujuh dan 10 tahun.
Kesemua mereka dilaporkan mengalami kecederaan.
Operasi yang diketuai PBK II Rano Bin Godol dengan kekuatan anggota dari BBP Kota Belud serta dibantu dua anggota polis dan dua petugas kesihatan berjalan lancar dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi.
TAMAT
