KOTA KINABALU, 17 Feb : Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Kerajaan Negeri Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin serta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Ketibaan pemimpin negeri itu disambut meriah sebelum mereka bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin mengetuai acara simbolik memukul gendang sebagai tanda perasmian rumah terbuka tersebut.
Tun Musa dan Hajiji turut menyertai tradisi mengaul Yee Sang bersama tetamu jemputan sebagai lambang kemakmuran dan perpaduan.
Majlis itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan oleh artis tempatan serta kumpulan tarian, sekali gus menambah kemeriahan sambutan perayaan berkenaan.
TAMAT
