KUALA LUMPUR, 12 Feb – Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam di Malaysia ditetapkan pada petang Selasa, 17 Februari 2026 bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah memperkenankan cerapan rukyah dilakukan di 29 lokasi strategik di seluruh negara pada petang berkenaan.
Antara lokasi cerapan termasuk Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail di Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka; serta Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Di Selangor, cerapan akan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Bukit Melawati, Bukit Jugra dan Sabak Bernam, manakala di Perak melibatkan Pantai Pasir Panjang.
Cerapan turut dijalankan di Pusat Falak Sheikh Tahir, Pulau Pinang serta beberapa lokasi di Kedah termasuk Kampung Pulau Sayak di Langkawi dan Menara Alor Setar.
Bagi Sabah dan Sarawak, antara lokasi yang terlibat ialah Balai Cerap Al-Biruni Putatan serta Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, selain Pusat Falak Miri, Teluk Bandung dan Pusat Falak Bintulu di Sarawak.
Kenyataan itu turut memaklumkan penetapan tarikh awal Ramadan dibuat berdasarkan kaedah gabungan rukyah dan hisab seperti dipersetujui Majlis Raja-Raja.
Pengumuman rasmi mengenai tarikh permulaan puasa akan disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam 17 Februari ini menerusi siaran media.
TAMAT
