WARISAN KEKAL FOKUS PERJUANG NASIB RAKYAT SABAH

Oleh: Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 6 Sept – Parti Warisan (WARISAN) akan terus kekal fokus memperjuangkan nasib rakyat Sabah tanpa bergantung kepada kerjasama dengan parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Ahli Parlimen P.188 Lahad Datu, Dato’ Mohammad Yusof Apdal berkata, perjuangan secara konsisten dan berprinsip akan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa WARISAN mampu kembali menerajui negeri ini.

“Rakyat mungkin berpendapat WARISAN tidak mampu menang tanpa bergabung namun sejarah telah membuktikan bahawa dengan berjuang secara solo juga kemenangan boleh dicapai.

Apa yang penting, kita kekal setia dan fokus kepada agenda membela rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Ramah Mesra bersama masyarakat Kampung Tabanak yang diadakan di kediaman Ketua Parti WARISAN PDM Tabanak Hj. Munasir Hj. Rafael hari ini.

Program yang dihadiri kira-kira 25 ahli dan pimpinan WARISAN itu turut menampilkan kepimpinan bahagian, antaranya Timbalan Ketua Penyelaras WARISAN DUN Segama, Hj. Sari @ Usari Arshad; Setiausaha WARISAN Bahagian Lahad Datu, Hj. Kassim Sulaiman; Ketua Gerak Kerja DUN Segama, Mohamad Karim; dan Ketua Wanita WARISAN DUN Segama, Siti Khadijah Hatin.

Mohammad Yusof dalam ucapannya turut menegaskan bahawa sepanjang pentadbiran WARISAN di Sabah sebelum ini pelbagai bantuan telah disalurkan kepada rakyat termasuk dalam aspek prasarana, pemberian tanah, pendidikan dan kesihatan.

“Sebaliknya, ketika GRS memerintah, masalah asas seperti air, elektrik dan jalan raya di luar bandar masih gagal ditangani.

Inilah yang perlu kita ubah dalam PRN akan datang,” tambahnya.

Sejurus selesai sesi ramah mesra beliau meneruskan Program Ziarah Kasih ke tiga rumah sekitar Kg. Tabanak dengan menyerahkan bantuan bakul makanan dan beras kepada tujuh orang fakir miskin serta warga emas.

TAMAT