sh@ Syamilah Salleh
MENGGATAL: 30 Jun – Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam satu kejadian kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal di Jalan Kokol, Kampung Mansiang di sini semalam.
Mangsa dikenali sebagai Ng Su Yen, 72, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan pada jam 9.02 malam.
Menurut Komander Operasi, Penolong Bomba Tinggi II (PBT II) Laupen Nuar, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 8.27 malam sebelum dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan bantuan dari BBP Kota Kinabalu digegas ke lokasi kejadian.
Seramai 20 anggota bomba bersama tiga jentera dua FRT, satu EMRS dan satu tangki air terlibat dalam operasi tersebut.
Katanya, Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.40 malam dan mendapati rumah berkeluasan 60×40 kaki itu terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dan kawalan api dijalankan menggunakan satu aliran 100 kaki dengan dua pancutan air dari sumber jentera,” katanya dalam kenyataan.
Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.54 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.30 malam.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Turut hadir membantu di lokasi ialah anggota PDRM (7 anggota) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (3 anggota).
TAMAT

