WANITA CEDERA PARAH, ANAK SELAMAT DALAM KEMALANGAN DI TAWAU

TAWAU, 7 Okt – Seorang wanita cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bunga Raya, Taman Residen 88, di sini petang tadi.

Manakala tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan terselamat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.19 petang itu, kemalangan dipercayai melibatkan sebuah pacuan empat roda dan kereta.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau berkata, sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera, masing-masing FRT dan EMRS, digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya pasukan di tempat kejadian, didapati seorang mangsa wanita berusia 42 tahun yang berada dalam kereta dan mengalami kecederaan parah.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkannya kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua lagi penumpang kereta tersebut, lelaki berusia 43 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dilaporkan selamat.

Sementara itu, pemandu pacuan empat roda, lelaki berusia 67 tahun, mengalami cedera ringan dan berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan KKM sebelum dibawa ke hospital menaiki ambulan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.04 petang setelah memastikan kawasan kejadian selamat,” katanya.

Operasi diketuai PBK II Azlan Awang Ki, manakala Ketua Balai BBP Tawau ialah TPgB Jemishin Ujin.

TAMAT