WANITA CEDERA KEMALANGAN DI KM12 JALAN LAHAD DATU-FELDA

Oleh: Syarmillah Salleh

LAHAD DATU, 6 Sept – Seorang wanita berusia 57 tahun cedera selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 12, Jalan Lahad Datu-Felda, berhampiran MPOB, di sini, pagi tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 10.45 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.

Komander Operasi, PBK II Oma Bin Tome berkata, setibanya pasukan di lokasi, seorang mangsa wanita didapati mengalami kecederaan manakala pemandu kereta yang satu lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit sebelum memberikan rawatan awal.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan KKM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi turut dibantu tujuh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dua anggota polis. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.09 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

TAMAT