UMNO LIBARAN DAKWA KERAJAAN GRS GAGAL

SANDAKAN: 3 Ogos – UMNO Libaran menyifatkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal dalam urus tabir negeri ini.

Ketua bahagiannya Datuk Suhaimi Nasir berkata pentadbiran Kerajaan GRS terpalit dengan pelbagai isu.

Isu rasuah, isu lesen perlombongan mineral dan isu kemudahan asas seperti air, jalan dan elektrik gagal diselesaikan, katanya pada Persidangan Tahunan UMNO Libaran di sini hari ini.

Suhaimi juga mendakwa bahawa kadar pengangguran di negeri ini terus meningkat.

Persidangan itu dirasmikan oleh presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Suhaimi berkata hanya UMNO sahaja yang banyak membantu Sabah.

Katanya rakyat perlu tahu presiden UMNOlah yang membantu bukan hanya di Libaran tetapi seluruh negeri ini.

Projek pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat banyak dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, katanya lagi.

Tamat.