TANAH RUNTUH: SEORANG DISELAMATKAN, SEORANG LAGI GAGAL DIKESAN

Oleh: Syarmilah Salleh

Penampang, 11 September 2025 – Seorang berjaya diselamatkan tetapi seorang lagi belum dapat dikesan dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Serapung dekat sini petang tadi.

Kejadian itu berlaku apabila tanah tersebut menghempap sebuah rumah di mana kedua-dua mangsa berada di rumah tersebut.

Mangsa seorang wanita berjaya dikeluarkan oleh orang awam tetapi gagal mengesan seorang lagi yang dipercayai lelaki.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 6:10 petang.

Lokasi kejadian terletak kira-kira 6 kilometer dari balai dan dikategorikan sebagai KPI-1.

Pasukan penyelamat kini sedang giat menjalankan operasi pencarian.

Bagaimanapun, usaha menyelamat menghadapi cabaran besar ekoran laluan yang terputus akibat runtuhan serta aliran air yang deras di sekitar kawasan kejadian.

Operasi diketuai oleh PBK II KUP Rayndo Taimin, melibatkan seramai 7 anggota dari BBP Penampang.

Keanggotaan dan logistik yang digerakkan membabitkan sebuah jentera RRV membawa 4 anggota.

Manakala sebuah lori membawa 3 anggota serta sebuah bot penyelamat turut digunakan dalam operasi.

Sehingga kini maklumat lanjut mengenai mangsa masih belum diperoleh dan operasi masih diteruskan.

Info terkini mangsa wanita yang diselamatkan berada dalam keadaan stabil.

Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

TAMAT