SPRM TAHAN REMAN LIMA INDIVIDU TERMASUK EMPAT BEKAS PEGAWAI BANK DISYAKI BERSUBAHAT MELULUSKAN PINJAMAN KEWANGAN BERJUMLAH KIRA-KIRA RM11.3 JUTA

OLEH: ALEYA VILLIAMON

SANDAKAN: 22 Mei- Lima individu termasuk empat orang bekas pegawai bank di tahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.

Kelima-lima suspek dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga 28 Mei 2025, oleh Majistret 1 Siti Aisyah Umar Baki selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan pagi tadi.

Suspek lelaki berusia antara lingkungan 30 hingga 50an.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan antara jam 2 petang hingga 7 malam semalan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.

“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 hingga 2024 yang melibatkan kelulusan pinjaman pembiayaan bernilai kira-kira RM11.3 juta daripada 39 pemohon.

“Kesemua suspek juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a(A) Akta SPRM 2009.

Tamat