SPRM SABAH TAHAN DUA AHLI PERNIAGAAN KEMUKA TUNTUTAN PALSU

KOTA KINABALU, 12 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua ahli perniagaan kerana mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu berjumlah lebih RM3.6 juta.

Tuntutan itu melibatkan pembekalan mesin, peralatan usahawan dan perkhidmatan pensijilan di bawah Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Menurut sumber, suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah untuk dirakam keterangan.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengemukakan dua tuntutan palsu kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) pada 2022 dan 2023.
Tuntutan pertama melibatkan pembekalan mesin retort dan peralatan usahawan bernilai lebih RM400,000, manakala tuntutan kedua membabitkan perkhidmatan pensijilan MeSTI, My Food dan sijil Halal bernilai lebih RM3.2 juta.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua suspek dibebaskan selepas membayar deposit RM1,000 daripada wang jaminan RM10,000 yang dikenakan dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini,” katanya.

TAMAT