238 ORANG DITAHAN-IMIGRESEN

sh@ aleeya villiamon

SANDAKAN (4 MEI): Seramai 238 orang pendatang tanpa izin ditahan menerusi Operasi Mahir dan Operasi Sapu di sini hari ini.

Operasi di penempatan rumah setinggan, tapak pembinaan perumahan dan kilang kayu di sekitar daerah sini melibatkan 71 pegawai pelbagai pangkat daripada Pejabat Imigresen Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusof dalam kenyataan medianya berkata penangkapan itu adalah daripada 480 orang yang telah diperiksa.

” Mereka yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Daripada 238 yang ditahan itu adalah 88 lelaki dewasa, 88 perempuan dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 32 kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Sandakan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Katanya operasi yang bermula 1.30 pagi itu adalah berdasarkan aduan awam dan risikan selama sebulan.

Dalam pada itu Sitti Saleha memberitahu jabatan itu telah menangkap seramai 2,370 PATI yang melibatkan 53 orang tangkapan majikan daripada 13, 950 yang telah diperiksa di negeri ini dalam tempoh tahun ini.

Sehubungan dengan itu Sitti Saleha menyeru orang ramai untuk terus memberikan maklumat jika mendapati ada aktiviti pendatang asing tanpa izin atau mana-mana premis yang menggaji warga secara tidak sah.

Menurut pihak imigresen akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan.

Tamat