PITAS, 20 Ogos 2025 –Semangat patriotik yang diperlihatkan oleh penduduk daerah sini sememangnya membanggakan.
Biarpun sekadar sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat daerah namun mereka tetap hadir, meraikan sambutan dan membanjiri Dataran Pitas.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri I, Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Pitas, Dato’ Sri (Dr) Ruddy Awah, yang menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Negeri Sabah atas penganjuran konvoi berskala negeri tersebut.
Beliau berkata, Kembara Merdeka Jalur Gemilang bukan sekadar konvoi kenderaan mengibarkan bendera, sebaliknya satu wadah penting dalam menyemarakkan semangat cintakan tanah air serta memupuk perpaduan rakyat.
“Program ini adalah simbol kebanggaan rakyat terhadap tanah air. Ia menjadi manifestasi usaha bersama mengekalkan keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang dikecapi sejak negara merdeka,” katanya .
Ruddy turut menyeru rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis dan kenderaan masing-masing sebagai tanda sokongan terhadap sambutan Bulan Kebangsaan.
Pitas menjadi salah satu persinggahan utama konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Negeri Sabah yang diketuai Jabatan Penerangan Negeri Sabah.
Ketibaan konvoi di Dataran Pitas disambut meriah oleh penduduk tempatan, pelajar sekolah, kakitangan kerajaan, pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir memberikan sokongan.
Pelbagai acara diadakan sepanjang program, termasuk persembahan kebudayaan, deklamasi puisi kemerdekaan serta nyanyian lagu patriotik yang membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan hadirin.
Kemuncak acara ialah pelepasan rasmi peserta konvoi oleh Dato’ Sri (Dr) Ruddy Awah yang disambut dengan kibaran Jalur Gemilang dan sorakan “Malaysia Prihatin” sebelum peserta meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Beliau turut menyampaikan cenderamata kepada wakil konvoi sebagai tanda penghargaan atas usaha dan komitmen menjayakan program tersebut.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”, tahun ini program tersebut berjaya meniupkan kesedaran mengenai nikmat kemerdekaan yang diperjuangkan generasi terdahulu sekali gus memperkukuh rasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat kini.
Turut hadir dalam program itu ialah Pegawai Daerah Pitas, wakil jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin tempatan serta masyarakat setempat yang tidak melepaskan peluang menyertai acara penuh simbolik berkenaan.
Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 di Pitas membuktikan bahawa semangat cintakan negara masih kukuh dalam jiwa rakyat Sabah khususnya di daerah ini dan terus menjadi pemangkin kepada perpaduan serta patriotisme seluruh rakyat Malaysia.
TAMAT

