RM1,000 INSENTIF KHAS BUAT DUA PELAJAR

Haji Rozlan (tengah) bersama barisan guru mata pelajaran cemerlang dan pelajar cemerlang STPM 2024 SMK Abdul Rahim, Kudat

sh@ Fieza Fariez

KUDAT (6 JULAI): Adik Nurhidayana Likong dan Ransleey Raxzeer Ronny ada antara 72 pelajar SMK Abdul Rahim yang cemerlang dalam peperiksaan STPM.

Kesemua mereka diraikan atas kejayaan itu namun adik Nurhidayana dan Rensleey masing-masing mencatatkan PNGK 4.0 dan menerima insentif khas RM1,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong.

Insentif itu sebagai penghargaan dan diharap menjadi suntikan semangat kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan STPM pada tahun ini.

Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Konvokesyen Tingkatan Enam Cohort 2024 telah berlangsung di SMK Abdul Rahim baru-baru ini bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar yang menamatkan pengajian prauniversiti dengan jayanya.

Nurhidayana Likong, 20, yang berasal dari Taman Orkid yang bercita-cita menjadi seorang pendidik berkata, dia membuat nota ringkas agar dapat memahami pelajaran dengan lebih baik selain banyak membuat latihan soalan-soalan tahun sebelumnya.

Bagi Nurhidayana, STPM sememangnya sangat mencabar, namun semua calon pasti boleh menghadapinya apatahlagi berbekalkan semangat konsisten untuk berjaya.

“Yang paling penting jaga kesihatan mental dan fizikal,” katanya.

Nasihatnya buat calon seterusnya agar membuat banyak latihan dan sentiasa meminta doa dari kedua ibu bapa selain tidak membiarkan media sosial menjadi punca seseorang pelajar hilang fokus belajar.

Baginya, terlalu leka dengan media sosial ini boleh membuatkan seseorang itu lalai dan membuang masa tanpa sedar.

Hadkan masa penggunaannya dan elakkan daripada terjebak dengan perkara yang tidak berfaedah, katanya.

Sementara itu, Rensleey Raxzeer Ronny yang berasal dari Kampung Perpaduan, juga bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik.

Berkongsi cara belajar, Rensleey lebih cenderung kepada pendekatan ‘study smart’ bukan semata-mata belajar secara paksa.

Rensleey berkata dia akan memberi sepenuh tumpuan ketika guru mengajar di dalam kelas dan sentiasa bertanya jika belum memahami topik yang diajar.

” Bagi saya, untuk peroleh keputusan cemerlang sikap rajin perlu disemat dalam diri dan tidak tangguh kerja yang diberikan agar kita banyak masa lagi untuk belajar.

” Kejayaan saya memperoleh keputusan cemerlang dengan PNGK 4.0 tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan, guru-guru yang sabar mendidik serta tidak jemu memberi tunjuk ajar, dan rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa bersama memberi dorongan dan berkongsi ilmu, ” katanya.

Rensleey menasihatkan adik-adik yang masih bersekolah agar teruskan berusaha kerana setiap kesukaran dan cabaran, kejayaan akan tetap menanti di hujung perjuangan.

“Jangan pernah takut dengan impian yang besar, kerana yang paling penting bukan seberapa cepat kita sampai, tetapi seberapa kuat kita bertahan untuk terus sampai,” katanya.

Tamat