REMAJA LELAKI DIBAHAM BUAYA KETIKA MENJALA UDANG DI KINABATANGAN

sabahheadlines
1 Min Read

KINABATANGAN, 17 Mac – Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang di sungai berhampiran Kampung Segaliud, Jalan Masuk SK Segaliud Seri Linkas, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.22 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK I Jasmani Osni tiba di lokasi pada jam 9.10 malam bagi mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut laporan awal, mangsa Mohd Rayyan Abdullah, 28, dikatakan dibaham buaya ketika sedang menjala udang di sungai berkenaan.

Bapa mangsa yang turut berada di lokasi kejadian memaklumkan bahawa insiden itu berlaku di hadapan beliau sendiri.

Operasi SAR kini sedang dijalankan oleh pihak bomba dengan kekuatan empat anggota menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis VIGO.

Setakat ini, mangsa masih belum ditemukan dan operasi akan diteruskan sehingga maklumat lanjut diperoleh.

TAMAT

Share This Article