LAHAD DATU (18 JULAI): Pusat Informasi Pelancong bakal dibina di daerah sini.
Pembinaan itu adalah salah satu usaha untuk memperkukuhkan sektor pelancongan yang menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Bennety Mohd Dzul, berkata pembangunan pusat itu selaras dengan inisiatif memperkukuh infrastruktur pelancongan selain menangani cabaran seperti isu kebersihan, masalah pelupusan sampah dan komuniti tanpa negara (Palauh).
“Dari aspek keselamatan, kejayaan kerjasama antara ESSCOM dan agensi keselamatan lain telah mengembalikan keyakinan kepada pelancong bahawa Lahad Datu adalah destinasi yang selamat untuk dikunjungi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Kursus Pembangunan Pakej Pelancongan: Strategi Harga dan Pemasaran Digital yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Julai lalu.
Turut hadir, wakil Lembaga Pelancongan Negeri Sabah dan Presiden Persatuan Pelancongan Lahad Datu, diwakili oleh Joe Wong yang juga penganjur program.
Joe berkata, Lahad Datu kini mula menjadi tarikan pelancong Eropah, bukan sahaja ke destinasi hutan seperti Lembah Danum dan Tabin, malah turut menjadikan Blue Ring Reef sebagai lokasi menyelam utama.
“Blue Ring Reef yang diiktiraf antara terindah di dunia menjadi daya tarikan baharu kerana keunikan dan keaslian batu karangnya yang masih terpelihara,” ujarnya.
Sementara itu, dua pengarah Sumi Suria Dive and Tours Sdn Bhd, Robin Demowal dan Sabar Jiran, mengesahkan kemasukan pelancong dari Itali, Belgium dan Jerman dalam masa terdekat.
“Sebelum ini pelancong Eropah hanya fokus ke hutan, kini mereka memilih aktiviti menyelam dan pelancongan laut,” jelas mereka.
Kursus tersebut menghimpunkan pengusaha pelancongan tempatan bagi merangka strategi serta pelan tindakan memperkasakan sektor pelancongan Lahad Datu ke tahap lebih tinggi.
TAMAT

