PRIME perkukuh kesiapsiagaan komunikasi bencana di Sabah

Oleh: Syarmilah Salleh

TAWAU, 7 Sept – Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dilancarkan di Sabah hari ini bagi memperkukuh jaringan komunikasi semasa bencana.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PRIME merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menggunakan kenderaan dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.

“Dengan PRIME, agensi penyelamat dapat melaksanakan operasi bantuan bencana dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya ketika merasmikan peluncuran PRIME peringkat negeri Sabah sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, di sini.

Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober depan.

Program HBK turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara serentak di 1,099 NADI seluruh negara dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), perkhidmatan pintar serta pameran usahawan tempatan.

Pada majlis itu juga, disampaikan sumbangan Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM). Selain itu, turut diadakan penyerahan surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu.

Terdahulu, Datuk Fahmi meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai yang mula beroperasi sejak 27 September tahun lalu.

Menara berkenaan menggunakan teknologi 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile serta diuruskan oleh Redtone. Ujian MCMC NEXUS menunjukkan kelajuan purata 50Mbps dengan manfaat kepada kira-kira 1,200 penduduk setempat.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

TAMAT