LAHAD DATU, 6 Okt – Polis Daerah Lahad Datu memperhebatkan tindakan membanteras kegiatan samseng jalanan menerusi operasi khas di beberapa lokasi panas sekitar bandar ini pada malam ahad.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail, berkata operasi bermula jam 10 malam hingga 4 pagi itu melibatkan lapan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
“Operasi menumpukan kawasan tumpuan seperti Bandar Fajar, Bandar Sri Perdana, Batu 6 Jalan Segama, Pusat Bandar, Bandar Ipeak dan laluan Pan Borneo,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebanyak 15 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk nombor pendaftaran fancy, tiada cermin sisi, tiada lesen memandu, ubah suai ekzos dan tamat cukai jalan.
Dua motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam operasi itu,seramai 55 individu dan 10 kenderaan diperiksa manakala 10 sesi advokasi keselamatan jalan raya turut diadakan kepada pengguna jalan raya.
Dzulbaharin menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan kerana perbuatan itu membahayakan pengguna lain.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di Lahad Datu sentiasa terpelihara,” katanya sambil menyeru orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya serta menyalurkan maklumat kepada polis bagi membanteras kegiatan berkenaan.
TAMAT

