PKR YAKIN POTENSI CERAH DI SABAH – AZMAN

Oleh: Syarmillah Salleh

LAHAD DATU, 7 Sept – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin, menegaskan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melihat peluang yang cerah untuk menawan beberapa kerusi di Sabah pada pilihan raya negeri akan datang.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan sokongan rakyat yang semakin meningkat terhadap Pakatan Harapan (PH) serta komitmen berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memberi perhatian kepada pembangunan Sabah.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Komuniti Segama Merdeka Madani 2025 di Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya, Palm Height, Segama, petang tadi.

“Saya melihat bukan sahaja di DUN Segama, malah di seluruh Sabah, peluang Pakatan Harapan untuk menguasai negeri ini amat besar.

Ini kerana Perdana Menteri menunjukkan kesungguhan luar biasa apabila beliau adalah pemimpin nombor satu negara yang paling kerap turun ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap isu yang dihadapi rakyat negeri ini sekali gus memastikan Sabah turut menikmati limpahan ekonomi dan pembangunan seiring negeri lain di Malaysia.

Dalam majlis berkenaan, Datuk Azman turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai kepada 500 penerima daripada kalangan penduduk setempat dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas mengenai persiapan menghadapi pilihan raya, beliau menjelaskan PKR Sabah telah menggerakkan jentera sejak Jun lalu termasuk memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi.

“Kita bersedia dengan siapa sahaja lawan kita. Agenda kita adalah agenda rakyat Sabah. Soal calon akan diputuskan kepimpinan parti berdasarkan kelayakan serta kekuatan di lapangan,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa sokongan rakyat kini semakin berpihak kepada kerajaan pimpinan PH berikutan usaha berterusan untuk membela kepentingan masyarakat Sabah dan Sarawak sekaligus membuka ruang lebih besar untuk parti itu mengukuhkan kedudukan politik di negeri ini.

TAMAT