sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU: 25 Jun – Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Bahagian Tungku, khususnya golongan pemuda, diingatkan supaya tidak terjebak dengan budaya politik bermusim menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi Gagasan, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata, senario menjelang PRN sering menyaksikan kemunculan parti-parti tertentu dengan tawaran janji-janji manis yang bersifat sementara.

“Kita tidak boleh terpengaruh dengan janji-janji yang hanya muncul ketika musim pilihan raya. Kita perlu teguh berpegang kepada prinsip perjuangan parti serta bijak menilai strategi dan gerak-geri mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Tahunan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Bahagian Tungku, di sini, baru- baru ini.
Abdul Hakim yang juga Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Tungku menegaskan, kawasan itu memerlukan pembangunan yang berterusan serta pembelaan terhadap rakyat, bukan janji kosong yang hanya dicanang menjelang pilihan raya.
“Rakyat tidak perlukan pemimpin yang hanya muncul ketika perlukan undi dan sokongan, tetapi menghilang apabila diperlukan. Inilah masanya untuk kita merubah masa depan anak-anak kita,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Gagasan diyakini mampu terus membela nasib rakyat.
Menurutnya, Presiden Gagasan merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah menunjukkan kepimpinan cemerlang dengan lebih banyak bekerja berbanding menabur janji.
“Pelbagai manfaat telah dibawa kepada rakyat merangkumi aspek pembangunan ekonomi dan sosial. Hala Tuju Sabah Maju Jaya jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam membangun negeri dan mensejahterakan rakyat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Abdul Hakim menyeru semua komponen dalam GRS agar terus bersatu padu dan mengukuhkan kerjasama demi memastikan kemenangan dalam PRN akan datang.
“Kerjasama erat inilah yang telah membawa kepada kestabilan politik dan membolehkan pelbagai pembangunan dilaksanakan. Ia harus diteruskan demi manfaat rakyat dan negeri,” katanya.
TAMAT

