SH-Aleeya Villiamon
KINABATANGAN (22 April) – Persatuan Pengusaha Pelancongan Kinabatangan-Corridor of Life, Sabah (KiTA) terus teguh dengan misinya untuk memperjuangkan pelancongan lestari dan usaha pemuliharaan di kawasan Kinabatangan.
Komitmen ini ditekankan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-15 dan Mesyuarat Exco ke-35, di mana para ahli berkumpul untuk menilai pencapaian lalu dan merangka inisiatif masa depan.
Mesyuarat ini turut menyaksikan peralihan kepimpinan dengan pelantikan barisan baharu bagi penggal 2025–2026 dibarisi oleh Lim Tsung @ Johnny mengantikan presiden terdahulu: Encik Alexander Yee Kok Tsen, timbalan presiden, Rory Lewis Mckenzie, Amy Chin (Bendahari), Sulinah Tan (Setiausaha) dan
Fernando R dan Yanti Awang sebagai ahli jawatankuasa.
Dalam ucapan sulungnya, presiden baharu itu, Johnny, merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh ahli KiTA.
“Saya amat bersyukur atas peluang ini untuk berkhidmat. Saya percaya dengan kerjasama dan visi yang dikongsi bersama, kita mampu mencapai kejayaan besar untuk Kinabatangan,” katanya.
Beliau turut menekankan beberapa projek yang akan dilaksanakan oleh KiTA, antaranya inisiatif pembersihan sungai dengan kerjasama komuniti setempat.
“Ini hanyalah salah satu daripada beberapa usaha berasaskan komuniti yang dirancang untuk mengukuhkan pemeliharaan alam sekitar dan menggalakkan amalan lestari di kawasan kita,” tambahnya.
Encik Johnny juga mengucapkan penghargaan kepada mantan Presiden, Encik Alexander, atas dedikasi dan kepimpinannya.
“Bagi pihak KiTA, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Alexander kerana telah meletakkan halatuju dan memimpin dengan penuh dedikasi. Kami amat menghargai sumbangan beliau dan berterima kasih kerana beliau akan terus menyumbang sebagai Presiden Terdahulu,” ujarnya.
Semasa AGM, para ahli turut membincangkan strategi utama untuk memperluaskan penglibatan dan membina hubungan yang lebih kukuh dengan pihak berkepentingan. Salah satu resolusi yang dicapai adalah untuk mengadakan kunjungan hormat ke agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memupuk kerjasama yang menyokong usaha pemuliharaan, pelancongan, dan pembangunan komuniti di Kinabatangan.
KiTA terus komited untuk menjadi platform yang menyatukan penggiat pelancongan, komuniti setempat, dan pencinta alam sekitar demi memastikan Kinabatangan terus berkembang sebagai model pelancongan lestari di Sabah.
Tamat

Penerangan gambar, Johnny (hadapan, kedua dari kiri); Presiden Terdahulu, Alexander (hadapan, kedua dari kanan); Bendahari, Amy Chin (hadapan, kiri); Setiausaha, Sulinah Tan (hadapan, kanan); Ahli Jawatankuasa, Fernando (belakang, kanan) bersama ahli-ahli KiTA yang lain