TAWAU, 15 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan yang membawa sejumlah produk kesihatan dan ubat-ubatan terkawal tanpa sebarang dokumen sah.
Bot itu ditahan dalam satu operasi di perairan Tawau, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kapal peronda KM KIDURONG yang sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera dan Op Tiris telah mengesan serta menahan bot kargo berkenaan yang bergerak mencurigakan dari perairan Tawau menuju ke perairan Wallace Bay pada jam 2.10 petang.
“Hasil pemeriksaan di kedudukan 1.1 batu nautika utara Sungai Salipar mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun bertindak sebagai juragan bot tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penggeledahan lanjut menemukan beberapa kotak berisi produk kesihatan dan ubat-ubatan terkawal yang disorokkan dalam ruang muatan bot berkenaan.
Pemeriksaan dokumentasi mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran sah serta tiada daftar pengisytiharan kastam.
“Juragan, bot dan semua muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Jualan Dadah 1952, Peraturan 7(1) serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin dan muatan dianggarkan berjumlah RM71,000.
Ariffin tidak menolak kemungkinan barangan tersebut cuba diseludup keluar ke negara jiran bagi memenuhi permintaan pasaran luar.
Beliau menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik barangan serta modus operandi sindiket berkenaan.
“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan di kawasan perairan Sabah Timur melalui rondaan dan pemantauan lebih kerap di kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.
Maritim Malaysia turut menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau 999 untuk tindakan segera.
TAMAT