Mangsa Lemas Akibat Banjir Ditemui Pada Hari Ketiga Operasi SAR di Keningau

Oleh: Syarmilah Salleh

KENINGAU, 18 September 2025 – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini yang bermula 9.00 pagi akhirnya menemukan mayat pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd yang dilaporkan dibawa arus banjir di Kampung Nuntunan, Apin-Apin Keningau.

Mayat pekerja itu ditemui di kawasan Sungai Kampung Liau Laut kira-kira jam 6.18 petang.

Insiden berlaku pada malam 16 September 2025 apabila mangsa bersama dua lagi rakan sekerja menaiki sebuah kereta dan cuba menyeberangi jambatan yang dinaiki air akibat hujan lebat.

Bafaimanapun kereta mereka dihanyut oleh arus deras dan dua rakan sekerjanya berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa hilang selepas dihanyutkan arus deras sekitar jam 9.57 malam.

Mangsa terakhir kali dilihat memakai vest kerja Sabah Electricity.

Pasukan penyelamat menerima maklumat awal mengenai kejadian tersebut dan segera melancarkan operasi pencarian di sekitar kawasan sungai.

Komander Operasi, PBK I Severinus Sixtus Geofrey, melaporkan bahawa pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 26 kilometer dari balai.

Pada jam 1.06 pagi orang awam melaporkan terlihat kelibat mangsa di Sungai Kepayan sebelum dibawa arus deras.

Tidak lama selepas itu mangsa sekali lagi dilihat di Sungai Baginda namun cubaan menyelamat gagal kerana keadaan air yang sangat deras.

Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) kemudiannya dipindahkan ke Kampung Kaladakan untuk menyelaraskan pencarian dengan lebih berkesan.

Operasi SAR Hari Ketiga dimulakan sekitar jam 9.00 pagi tadi melibatkan pencarian sejauh 40 kilometer di sepanjang Sungai Pagalan.

Tumpuan turut diberikan di sekitar Kampung Linsudan selepas penemuan sepasang kasut milik mangsa kira-kira 21 kilometer dari lokasi kejadian.

Pasukan turut menggerakkan unit dron bagi membantu operasi pencarian dari udara.

Pada jam 6.18 petang, mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat dari Team Galen Star di kawasan sungai Kampung Liau Laut, Keningau.

Pasukan Bomba segera menjalankan proses mengangkat mayat dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kesemua mangsa terlibat adalah anggota kerja Sabah Electricity yang dipercayai dalam tugasan ketika kejadian berlaku.

Operasi SAR diketuai oleh
Komander Operasi Kanan,PKPgB Severinus@Mohd Nidzam bin Sainkui (010-5393417) dan Komander Operasi: PBK I Severinus Sixtus Geofrey (013-5558994).

Jumlah kekuatan anggota dari BBP Keningau adalah seramai 9 orang, dengan penggunaan dua kenderaan iaitu,URVAN (6 anggota) dan VIGO (4 anggota)

Pihak Bomba dan agensi terlibat akan terus memberikan maklumat terkini berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa.

TAMAT