MANGSA HILANG KETIKA MEMANCING DI SUNGAI UMAS-UMAS MASIH BELUM DIJUMPAI

TAWAU: 21 Julai – Usaha mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Umas-Umas, Dumpas, Jalan Merotai-Kalabakan, masih diteruskan hari ini selepas memasuki hari kedua operasi.

Mangsa, Rizal Bedu, 38 tahun, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing sekitar jam 2 petang pada 19 Julai lalu. Kehilangannya disedari dan dilaporkan kepada pihak polis sebelum maklumat disalurkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.

Menurut Komander Operasi, PBK I Suheizan Bin Sahak, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.27 petang, 20 Julai 2025, daripada Balai Polis Bombalai dan segera menggerakkan lima anggota ke lokasi kejadian, sejauh 40 kilometer dari BBP Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 3.22 petang, pasukan kami menjalankan pencarian secara surface searching dalam radius 500 meter. Kami menemui motosikal, beg dan sepasang kasut milik mangsa di tebing sungai, namun mangsa masih belum dijumpai,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai oleh agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Marin, Polis Bantuan, dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Umas, masing-masing dengan empat anggota.

Hari kedua SAR dimulakan seawal pagi dengan penggunaan dua buah bot – satu daripada pasukan bomba dan satu milik Polis Marin – selain bantuan penduduk kampung. Pencarian diperluaskan kepada radius 1.5 kilometer dan disertakan pencarian di tebing sungai secara berjalan kaki.

Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula pada keesokan harinya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan mangsa boleh menghubungi Ketua Balai BBP Tawau, TPgB Jemishin Bin Ujin di talian 013-5480760 untuk membantu siasatan dan operasi pencarian.

TAMAT