MA63 Amanah Bersama, Bukan Isu Politik — Yusof Apdal

LAHAD DATU: Perjuangan menuntut hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar bahan politik, sebaliknya satu amanah yang perlu dipikul setiap pemimpin Sabah tanpa mengira parti.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan (Warisan), Datuk Dr. Mohd Yusof Apdal, berkata Warisan kekal konsisten memperjuangkan hak rakyat serta memastikan pelaksanaan perkara-perkara dalam MA63 dapat diselesaikan dengan tuntas.

“MA63 bukan isu politik tetapi tanggungjawab setiap pemimpin Sabah.

“Semua parti harus menjadikan perjuangan ini sebagai amanah untuk negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sebuah program di SJK (C) Yuk Choi, di sini, pagi Sabtu.

Mengulas lanjut Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, beliau menyambut baik usaha kerajaan menyelesaikan 13 perkara dalam MA63 namun berharap komitmen itu diteruskan sehingga semua tuntutan dipenuhi demi manfaat rakyat Sabah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pemilihan calon Warisan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, kriteria utama ialah memilih calon boleh menang (winnable candidate) yang mampu mengukuhkan parti serta mendapat kepercayaan rakyat.

“Saya sendiri tertakluk kepada keperluan parti dan keputusan terletak di tangan pucuk pimpinan,” katanya.

TAMAT