LELAKI MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK KETIKA PETIK BUAH MANGGA

sh@syamila salleh
PAPAR: 8 Jun – Seorang lelaki berusia 42 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika memetik buah mangga di Kampung Bambangan, Papar petang tadi.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Bin Osman, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 3.01 petang sebelum sebuah jentera FRT bersama sebuah unit EMRS dan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba pada jam 3.08 petang, kami dimaklumkan oleh orang awam bahawa mangsa telah memanjat sebatang pokok mangga dan menggunakan sebatang besi sebagai alat untuk menjolok buah.

‘Malangnya, batang besi tersebut dipercayai telah menyentuh kabel elektrik berdekatan, menyebabkan mangsa terkena renjatan dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Operasi menyelamat hanya dapat dijalankan selepas pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memutuskan bekalan elektrik ke kawasan tersebut.

Pasukan bomba kemudian menggunakan tangga dan tali penyelamat untuk menurunkan mangsa dari atas pokok.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Turut sama berada di lokasi ialah tiga anggota KKM, tiga anggota PDRM, dan dua wakil dari SESB.

Ketua Balai BBP Papar itu turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti berdekatan kabel elektrik, terutama apabila menggunakan peralatan logam yang boleh mengalirkan arus elektrik.

TAMAT

Anggota Bomba sedang membawa mangsa yang terkena rejatan eletrik ketika memetik buah mangga