sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 26 Ogos 2025 (Selasa) – Seorang lelaki yang mengaku salah atas pertuduhan mencabul anak saudaranya dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu
Hakim Suhailla Selag ketika menjatuhkan hukuman turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selama dua tahun.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Ogos lalu.
Hakim berkata pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sharil Haja Mohaideen berjaya membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh.
Pada 18 Ogos lalu, polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu menahan tertuduh selepas menerima laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang mendakwa dicabul pakciknya sejak berusia 10 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
TAMAT