SANDAKAN, 9 Okt — Lapan buah rumah tmusnah dalam kebakaran di Kampung Mankalinau, di sini malam tadi.
Pegawai Bomba Kanan I yang juga Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PBKI Hazmizan Maksit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 8.18 malam.
“Seramai 15 anggota bersama empat jentera — dua FRT, satu tanker, dan satu EMRS — dikejarkan ke lokasi sejauh empat kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 8.22 malam, pasukan mendapati kebakaran melibatkan lapan rumah jenis tidak kekal, masing-masing berkeluasan 15×20 kaki persegi dan telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah offensive dan defensive dengan satu aliran sepanjang 400 kaki dan dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera.
“Api berjaya dikawal pada jam 8.38 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.20 malam selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Turut membantu dalam operasi berkenaan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai lapan anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tujuh anggota, serta Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) empat anggota.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
TAMAT

