KUATKUASAKAN STANDARD TASKA, TADIKA DEMI KESELAMATAN DAN KUALITI PENDIDIKAN AWAL  : DR MORNIE

Terima kasih….Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2025 Tracey Jefirin dari Kota Marudu menerima anugerah dari Dr Bustam dan diperhati oleh Dr Mornie.

IKota Kinabalu : 29 Oktober- Tahap penguatkuasaan pengendalian taska dan tadika di Sabah perlu diperkasakana bagi menjamin keselamatan serta mutu pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini, kata Pengerusi Kolej SIDMA Sabah, Prof. Dr. Morning Kambrie.

Walaupun terdapat pelbagai garis panduan dan undang-undang berkaitan operasi institusi pendidikan awal, namun pelaksanaannya di peringkat lapangan masih longgar dan tidak menyeluruh, katanya lagi.

“Kita dapati masih ada taska dan tadika beroperasi tanpa pendaftaran sah, tidak mematuhi nisbah guru kepada murid, serta kurang pemantauan berkala daripada agensi berkaitan. Ini bukan sahaja menjejaskan kualiti pembelajaran, tetapi juga keselamatan kanak-kanak,” katanya semasa ditemui selepas majlis konvokesyen Kolej SIDMA kali ke 11 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, di sini, hari ini.

Seramai 96 graduan Kolej SIDMA diraikan daripada jumlah itu, seramai 75 graduan menamatkan pengajian dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, diikuti lima (5) Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 11 Diploma Pengurusan dan lima (5) Diploma Pengurusan Sukan.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Profesor KHAIR Fakulti Pengurusan Pendidikan dan Kemanusian Universiti MAIWP,  Prof. Dr. Bustam Kamri.

Dr.Mornie berkata, kerajaan melalui jabatan berkaitan seperti Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memperkukuh mekanisme pemantauan secara lebih agresif, termasuk tindakan tegas terhadap pengusaha yang gagal mematuhi piawaian minimum.

“Pendidikan awal merupakan asas kepada pembentukan modal insan… ia tidak boleh dikendalikan secara sambil lewa.

“Setiap taska dan tadika perlu memastikan tenaga pengajar mereka terlatih dan berdaftar, selain mematuhi aspek keselamatan fizikal serta kebersihan premis,” tegasnya.

Dr. Mornie menekankan bahawa peningkatan penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai langkah mendidik dan membimbing pengusaha agar menambah baik kualiti perkhidmatan mereka.

“Pendekatan berbentuk pemantauan, latihan dan bimbingan profesional perlu dijalankan secara berterusan supaya semua institusi prasekolah di Sabah bergerak seiring dengan dasar pendidikan negara,” katanya.

Sementara itu, Profesor KHAIR Fakulti Pengurusan Pendidikan dan Kemanusian Universiti MAIWP, Prof. Dr. Bustam berkata program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang menjadi tunjang utama kolej itu berjaya melahirkan pendidik profesional.

“Kolej SIDMA juga berjaya melaksanakan program-program baharu seperti Diploma Pengurusan Sukan yang bertepatan dengan keperluan industri semasa serta membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang pembangunan sukan tempatan dan kebangsaan,” katanya.

Dr. Bustam turut menegaskan bahawa pendidikan adalah satu perjalanan sepanjang hayat, dan kejayaan yang diraikan hari ini hanyalah permulaan kepada cabaran dunia sebenar.

Majlis turut menyaksikan Tracey Jefirin dari Kota Marudu diumumkan sebagai Penerima Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2025 bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan disiplin tinggi beliau sepanjang pengajian.

Kolej SIDMA terus memperkukuh kualiti akademiknya melalui kerjasama strategik bersama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dalam menawarkan pelbagai program di peringkat Asasi, Ijazah Sarjana Muda dan Pascasiswazah, termasuk Ijazah Sarjana Pendidikan (MEdu), Ijazah Sarjana Pengurusan (MIM) dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Tamat