KM: Generasi muda perlu dipersiapkan dengan integriti sejak awal

KOTA KINABALU: Generasi muda perlu dipersiapkan dengan didikan bermoral berlandaskan integriti.

Ini kerana mereka adalah pemimpin yang bakal menentukan masa depan negara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Menurutnya, nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah dan tanggungjawab perlu dibentuk seawal usia di rumah.

“Program Kedai Jujur adalah platform terbaik untuk pelajar mempraktikkan nilai integriti setiap hari.

“Ia latihan berharga untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia luar yang lebih kompleks,” katanya ketika merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan Mutiara, di sini hari ini.

Katanya, kejayaan membudayakan integriti hanya dapat dicapai apabila semua pihak berganding bahu menjadikannya amalan dalam setiap aspek kehidupan.

Hajiji yakin bahawa memupuk kejujuran dan tanggungjawab dalam diri anak-anak sejak kecil adalah asas kepada pembinaan barisan pemimpin masa depan yang berintegriti dan berwibawa.

“Konsep Kedai Jujur ini boleh dijadikan benteng awal bagi menghalang salah laku tidak berintegriti dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Hajiji turut menyeru agar lebih banyak sekolah menyertai program tersebut.

Katanya, konsep Kedai Jujur berasaskan amalan masyarakat Sabah sejak dahulu yang mengamalkan gerai jualan tanpa penjaga, meletakkan barangan bersama tabung bayaran, dan mempercayai kejujuran pembeli.

“Budaya ini menjadi asas kepada program Kedai Jujur di sekolah, agar nilai tersebut terus hidup dalam kalangan generasi baharu,” katanya.

Program Kedai Jujur 2025 dilaksanakan di sepuluh sekolah seluruh Sabah termasuk Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu,

Hajiji turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas sebanyak RM20 ribu kepada SK Mutiara untuk membiayai aktiviti sekolah tersebut.

Tamat